Laman Utama / Ucapan

Ucapan PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah menyampaikan ucapannya di Acara Penghormatan kepada Generasi Merdeka pada 2 Feb 2019.


Saudara saudari sekalian,

Saya amat gembira kerana dapat hadir hari ini untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada Generasi Merdeka, sekumpulan rakyat Singapura yang sangat istimewa.

Generasi Merdeka telah menyumbang kepada kejayaan Singapura melonjak maju dari taraf Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama dalam satu generasi sahaja.

Anda sama-sama melalui pahit getir perjuangan ini dan memainkan peranan anda sebaik sahaja Singapura menjadi sebuah negara merdeka.

Anda telah saksikan sendiri pengorbanan ibu bapa anda dalam membesarkan anda sekeluarga, khususnya ketika Singapura sedang memperjuangkan kemerdekaan kita.

Jadi, apabila tiba giliran anda, anda faham dan bersedia untuk memikul tanggungjawab demi menyumbang kembali kepada masyarakat.

Kerja keras dan sumbangan anda telah membolehkan kita menikmati kemajuan yang besar dalam kehidupan kita hari ini.

Pakej Generasi Merdeka ini adalah tanda penghargaan ikhlas dari kami atas segala sumbangan anda.

Sedang anda melangkah masuk ke usia senja, kami harap pakej ini dapat mengurangkan kebimbangan anda, terutama sekali tentang kos jagaan kesihatan anda.

Terima kasih semua. Saya harap dapat beramah mesra dengan setiap anda, sebentar lagi.